Dipetik dari WebKL oleh: NOOR FAZRINA KAMAL
KETIKA orang lain masih dibuai mimpi, dia sudah keluar rumah. Destinasinya adalah kawasan pasar berhampiran tempat tinggalnya di Kelana Jaya, Selangor. Itulah rutin hidupnya setiap hari. Tujuannya hanya satu. Mengutip bahan mentah seperti sayur dan ikan yang masih elok pada pandangan mata uzurnya.Pencariannya bukan sebagai pelanggan yang biasanya dilihat membeli sayur dan bahan mentah untuk dimasak sebagai santapan ahli keluarga, tetapi untuk mengutip sayur-sayuran dan ikan yang kurang elok dan telah diketepikan oleh penjual di pasar untuk dijual semula.
Itulah sumber rezeki warga emas yang bernama Halimah Mindik ini untuk mencari nafkah demi menyara hidupnya. Dalam usia yang mencecah 87 tahun, kudrat beliau masih mampu untuk memikul beg plastik berisi sayur-sayuran serta ikan yang purata beratnya lebih kurang 2 kg. Tambah menyedihkan, dengan tubuh badan yang kurus dan kecil, beliau menjaja dari pintu ke pintu, tingkat ke tingkat di kawasan rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Putra Damai, Kelana Jaya untuk menjual sayur-sayuran yang telah dikutipnya.
Siapalah yang ingin membeli sayur-sayuran yang pada keadaan fizikalnya telah layu dan hampir berbau? Walaupun Halimah cuma menjual dengan harga 30 sen bagi satu ikat sayur, jarang hasil jualannya dibeli oleh jiran. Jika ada pun hanya mereka yang bersimpati dan kasihankan dirinya. Sewaktu saya dan jurugambar tiba di kawasan dia menjaja, Halimah yang dikenali sebagai 'nenek jual sayur' di kalangan jirannya dilihat sedang berusaha memujuk salah seorang suri rumah membeli hasil jualannya. Puas dipujuk untuk ditemu bual, Halimah tidak berganjak. Jiran-jiran berkata, selagi jualannya tidak habis, dia tidak akan berhenti dan pulang ke rumah.
Bagi memudahkan kerja dan atas rasa hati yang amat belas, saya menyerahkan ke tangannya wang RM10 dan membeli kesemua sayur yang berada di tangannya. Nenek Halimah tersenyum. Ada air jernih pada matanya. Sebelum sempat saya berkata-kata, nenek Halimah kalut menyeluk poket baju kedah yang dipakainya mencari wang untuk memulangkan baki. Sayunya hati saya Tuhan sahaja yang tahu.
"Satu beg plastik ini cuma berharga tiga ringgit saja, bukannya sepuluh ringgit, mana boleh nenek ambil duit ni," ujarnya dalam loghat Perak, negeri kelahirannya.
Dalam hati saya berkata, tinggi sungguh maruah nenek ini. Sudahlah hidupnya susah dan terpaksa pula mengerah keringat pada usia yang agak lanjut, nenek Halimah juga jujur dalam menjalankan perniagaan tanpa sedikit niat pun untuk mengambil kesempatan. Tambah mengejutkan saya, sebaik selesai saya berkata tidak payah pulangkan baki, nenek Halimah terus duduk mencangkung dan menadah tangan berdoa kerana rezeki yang telah dianugerahkan Tuhan kepadanya.
Saya sebak melihat tindakan nenek Halimah kerana inilah pertama kali saya berdepan dengan situasi begini sejak menjadi wartawan. Hati saya dan jurugambar amat terharu. Salah seorang jiran memberitahu, Halimah akan berdoa memohon kesejahteraan mereka yang membeli jualannya.
"Syukur pada Allah, ada rezeki nenek hari ini, takdir Allah menemukan kita hari ini," katanya ceria sambil menjawab soalan saya.
Nenek Halimah merupakan lambang wanita Islam yang tinggi jati dirinya. Dalam usia yang mencecah seabad, dia mengisi masa lapangnya dengan mengajar jiran mengaji. Menurut nenek Halimah, ketika usia muda, dia selalu mengikuti kelas belajar agama di sekitar Bagan Datoh dan Semanggol di Perak.
"Kadangkala ada yang menjemput nenek untuk mendengar ceramah di Masjid Negara, dari situ nenek peroleh ilmu dan turunkan pada jiran-jiran di sini," ujarnya tersenyum.
Halimah tinggal bersama anak tunggalnya, Mohd Nazir Muhamad, 42. Tambah memilukan, anak tunggal lelaki yang menjadi harapannya pula mengalami masalah mental sejak usia muda. Itulah sebabnya hanya nenek Halimah yang berusaha mencari rezeki untuk mereka dua beranak. Cuma sedikit bauan yang kurang menyenangkan datang dari ikan busuk yang dijemurnya bagi menghasilkan ikan kering mengganggu jiran yang tinggal setingkat dengan rumahnya.
"Lutut nenek ini selalu sakit, kadangkala nenek gagahkan juga menjual. Nenek makan ubat tahan sakit yang dibeli di klinik, tapi mungkin kesan sampingan ubat tersebut membuat telinga nenek kurang jelas pendengaran," ujarnya sayu. Saya berasa sedih dan sayu hati melihat sendi tangannya mengerekot. "Ini semua kesan nenek mengangkat plastik untuk jualan seharian," katanya sambil menunjukkan tangannya. Dia seperti tahu apa yang tersirat di hati saya.
Menurut nenek Halimah, ada jiran yang memberikan sumbangan seperti beras dan barang-barang kering seperti sardin dan bihun untuk dia dan anaknya. Tapi kata jiran-jiran nenek Halimah yang bersyukur dengan rezeki yang diperolehnya akan bersedekah pula kepada orang lain yang lebih memerlukan darinya.
"Kami tinggal berdua, makan sedikit, kadangkala sumbangan berbentuk makanan berlebihan, jika tidak dimakan akan membazir pula jadi nenek akan sedekahkan pada kanak-kanak," tambahnya.
Mengenai masa depannya, nenek Halimah sendiri tidak begitu pasti akan masa depannya. "Selagi ada rumah nenek akan tinggal, esok lusa nenek akan pejam mata, nenek akan nikmati kehidupan ini dengan cara nenek tanpa menyusahkan sesiapa, selagi hayat dikandung badan," katanya menutup perbualan.
Sebelum meminta diri, nenek Halimah membekalkan kami dengan air Yasin yang diambilnya ketika menghadiri upacara pengebumian Allahyarham Tun Ghafar Baba baru-baru ini.
Begitulah kisah hidup nenek Halimah. Kisah ini patut menjadi inspirasi kepada generasi muda dan contoh kepada warga emas yang masih punya tenaga tetapi bergantung harap kepada ihsan orang tanpa mahu berusaha. Sama ada benar atau tidak kisah yang nenek Halimah ceritakan, biarlah itu menjadi kenangan dalam hidupnya. Yang penting, nenek Halimah tidak menyusahkan sesiapa. Dia masih menggunakan kudratnya untuk mencari rezeki halal untuk sesuap nasi bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Mereka yang ingin melawat nenek Halimah boleh berkunjung ke rumahnya di 1205, Blok E, Flat Taman Putra Damai, Kelana Jaya, Selangor atau hubungi jiran nenek Halimah di talian 016-6384741
nota: gambar di atas adalah gambar hiasan semata-mata
No comments:
Post a Comment